5 Kemahiran Temuduga Untuk Membantu Anda Mendapat Kerja

Sesiapa sahaja yang hendak bakal menjalani proses temuduga pasti merasakan bahawa proses temuduga satu perkara yang menggerunkan.

Ini kerana semasa sesi temuduga ini anda akan bertemu dengan seseorang yang akan menilai anda. Penemuduga pastinya akan menilai watak, etika kerja, pencapaian cemerlang, dan harapan calon pekerja yang ditemuduga. 

Lebih menggerunkan lagi apabila anda perlu berhadapan dengan panel penemuduga secara berhadapan yang boleh membuatkan anda gugup ketika bertentang mata dan panik memikirkan apakah panggilan sesuai yang  digunakan semasa sesi temuduga.

Jangan bimbang, ikuti 5 tips ini yang akan membuatkan anda lebih yakin sebelum menghadiri sesi temuduga. 

1. Membuat persediaan sebelum temuduga

Melakukan persediaan sebelum temuduga mungkin nampak kecil, namun ia akan memberi impak yang besar.

Tidak dapat dinafikan, antara penentu terbesar kejayaan ketika temuduga adalah dengan melakukan persediaan.

Jarang sekali seseorang yang tidak membuat persediaan, dapat menempuh proses temuduga dengan jayanya. 

Panel penemuduga yang berpengalaman juga dapat mengenal pasti jika calon yang hadir tidak membuat persediaan. Pasti segan kan, jika tidak dapat menjawab soalan kerana tidak membuat persediaan terlebih dahulu? 

Jadi, apa yang perlu kita persiapkan sebelum sesi temuduga? 

1. Pertama sekali, baca dan fahami skop atau keterangan kerja yang dinyatakan dalam iklan pekerjaan agar apabila tiba waktu temuduga nanti anda dapat berbincang betul-betul mengenai jawatan dan syarat-syarat tersebut yang perlu dipenuhi.

Anda juga perlu berfikir bagaimana anda dapat memenuhi jawatan yang ditawarkan dengan kemahiran yang anda ada. 

2. Teliti dan kuasai resume anda. Semasa penemuduga ada masa inilah anda perlu membuatkan penemuduga kagum dengan anda.

Anda perlu ketahui bahawa tidak semua penemuduga akan membaca resume anda secara teliti atau dapat mengingati semua maklumat anda, justeru segarkan ingatan mereka semasa mereka menebual anda.

Satu lagi perkara penting yang anda perlu tekankan adalah anda perlu pastikan apa yang anda tulis dalam resume adalah selari dengan apa yang anda bicarakan semasa sesi temuduga tidak kira secara berhadapan, melalui telefon atau melalui panggilan video.

3. Bersedia dengan peralatan teknikal sebelum temuduga.

Bukan mudah untuk menjaga eye contact ketika melakukan temuduga secara panggilan video, tetapi ada beberapa perkara yang boleh membantu anda ketika membuat panggilan video. 

Sebelum melakukan temuduga, pastikan anda sudah menyiapkan kamera anda sehingga anda dapat melihat kedudukan diri anda memenuhi skrin dengan posisi yang baik.

Selain itu, anda perlu pastikan agar latar belakang posisi anda dalam skrin bebas gangguan daripada pandangan yang tidak menyenangkan.

Jika perlu, anda boleh tukar latar belakang skrin secara maya melalui pilihan skrin yang disediakan.

Menurut Forbes, trend kerjaya 2021 akan lebih terarah melalui panggilan video. Ini bererti proses temu duga mungkin memakan masa lebih lama daripada sebelumnya.

Bukan sahaja anda, namun majikan juga mempunyai rasa bimbang untuk mengambil pekerja yang belum pernah mereka temui secara berhadapan. 

Justeru, boleh jadi mereka akan melakukan temu duga secara panggilan video berulang kaji iaitu 3 hingga 8 kali sehingga mereka membuat keputusan.

4. Etika pakaian yang sesuai. Di samping itu juga, semasa sesi temuduga anda perlu berpakaian dengan pakaian yang sesuai untuk sesi temuduga walaupun sesi temuduga tersebut dijalankan secara panggilan video atau telefon.

Tindakan ini bukan sahaja dapat mengelakkan para majikan melihat anda dalam keadaan berbaju tidur, bahkan persediaan dari sudut pakaian juga akan mempengaruhi minda anda untuk lebih bersedia menghadapi temuduga yang akan dijalankan nanti. 

5. Buat kajian soalan temuduga. Sebelum anda menjalani temu duga, anda mungkin akan ditanya beberapa soalan melalui panggilan telefon.

Buat sedikit kajian mengenai soalan temuduga kerja yang sering diajukan kepada calon dalam bidang anda. Luangkan sedikit masa untuk mencipta jawapan yang sesuai berdasarkan soalan-soalan tersebut.

Membuat persediaan juga bermaksud anda perlu mengetahui serba sedikit mengenai syarikat atau organisasi yang anda akan mohon.

Bagaimana anda akan menjawab soalan yang ditanya seperti “Mengapa anda mahu bekerja di sini?” jika anda sendiri tidak mengetahui apa-apa mengenai syarikat tersebut. 

Sekurangnya ambil tahu falsafah sesebuah syarikat dan bagaimana perjalanan organisasi mereka. 

Langkah pertama yang anda boleh lakukan, jika anda mengenali seseorang di syarikat itu, maka cuba tanya mereka.

Sekiranya tidak ada orang yang dikenali, periksa laman web syarikat, atau perhatikan profil LinkedIn syarikat untuk maklumat lanjut.

Lakukan carian Google untuk membaca artikel berita mengenai syarikat tersebut atau temubual bersama pengurusnya. Bahkan lebih baik anda terlebih tahu maklumat, daripada tahu sedikit maklumat. 

6. Anda boleh pertimbangkan menulis maklumat yang anda ingin hafal. Dengan menulis maklumat tersebut, anda akan lebih mudah menghafalnya.

Nota-nota tersebut juga dapat  membantu anda jika anda rasa gelisah dan bimbang secara tiba-tiba. Pastikan anda berinteraksi dengan baik bersama penemuduga dan jangan  hanya melihat nota nota yang dicatat bagaikan anda berada dalam peperiksaan.

Sebaik sahaja anda melakukan semua ini, anda akan lebih bersedia, dan bila bersedia pasti anda dapat lakukan yang terbaik!

2. Seni dan kemahiran komunikasi

Temu duga juga sama seperti uji bakat lakonan. Anda perlu memerhatikan kemahiran bertutur anda dan pastikan anda dapat bertutur dengan baik semasa proses temu duga.

Proses temuduga boleh jadi pengalaman yang mencemaskan, dan disebabkan hal ini, ramai calon yang tidak dapat mengawal pertuturannya. Ada yang bertutur secara cepat, bergumam atau bercakap terlalu perlahan. 

Tarik nafas dalam-dalam dan berlatih bertutur dengan penuh perhatian. Bertutur dengan kadar yang sederhana, bersikap tenang, dan pastikan bahawa penemuduga dapat mendengar setiap butir perkataan anda dengan jelas.

Sekiranya anda dapat berbicara dengan kadar kelajuan yang sederhana dan penuh keyakinan, butir bicara anda pasti mudah difahami oleh penemuduga dan secara tidak langsung ia menyerlahkan karisma anda sebagai calon pemohon. 

Bahasa badan juga membantu anda untuk lebih mudah bertutur. Bukan sahaja ia menunjukkan keyakinan, tetapi ia membantu anda lebih mudah bernafas dan memperdengarkan suara anda dengan lebih baik. Bertutur dengan baik juga menampilkan kemahiran komunikasi anda kepada panel penemuduga.

Sekiranya anda dapat menyampaikan mesej anda dengan baik semasa proses temuduga kerja, ia juga menunjukkan kemahiran komunikasi anda yang mudah bergaul dan serasi apabila kerja berpasukan. 

Pandangan mata juga sangat penting. Ia menghubungkan anda dengan penemuduga serta menunjukkan keyakinan anda.

Sekiranya pandangan mata anda bertemu dengan panel penemuduga membuatkan anda gugup, cuba perhatikan alis atau dagu penemuduga.

Secara tidak langsung anda seolah-olah sedang melihat mata mereka. Anda juga boleh berlatih di depan cermin atau dengan rakan untuk lebih mahir mengawal pandangan mata anda. 

3. Mendengar

Panel penemuduga mungkin terdiri daripada dua orang atau lebih. Jadi, sangat penting untuk anda tonjolkan kemampuan anda untuk menjadi pendengar yang baik.

Kemahiran mendengar menunjukkan kesungguhan dan kemampuan anda untuk bekerja dalam satu pasukan.

Tambahan pula, jika anda tidak mempraktikkan kemahiran mendengar yang baik, anda mungkin akan terlepas beberapa soalan dan memberikan jawapan yang kurang menarik.

Semasa proses temuduga, anda perlu tunjukkan rasa hormat terhadap mereka. Kawal pandangan mata anda, anggukkan kepala semasa anda mendengar dan pastikan anda memahami soalan atau komen yang datang dari penemuduga anda.

Di samping itu juga, mengajukan soalan kepada penemuduga juga menunjukkan bahawa anda memberi perhatian dan cuba mendapat jawapan yang tepat. bayangkan proses temuduga itu sebagai perbualan.

Anda perlu tahu bahawa majikan juga berusaha untuk meyakinkan anda untuk diterima di dalam syarikat sama seperti anda yang berjuang untuk mendapat pekerjaan. 

Dengan maklumat penting yang dijawab oleh panel penemuduga, anda juga boleh memutuskan adakah jawatan ini sebenarnya tepat untuk anda. Jangan lupa, anda bukan hanya ingin pekerjaan baru, namun anda juga mahukan pekerjaan yang sesuai untuk anda!

4. Tunjukkan minat, bukan keterdesakan

Berminat dengan kerja, dan terdesak untuk kerja adalah dua perkara yang berbeza. Keterdesakan tidak akan menarik perhatian atau mengagumkan sesiapa.

Tugas anda adalah memastikan anda menunjukkan minat yang tulus untuk jawatan yang di mohon di samping membuktikan kelayakan anda yang cemerlang untuk pekerjaan tersebut. 

Memang sukar apabila anda benar-benar memerlukan pekerjaan, tetapi ingatkan diri anda bahawa cara terbaik untuk mendapatkannya adalah melalui proses temu duga yang hebat, bukan dengan mewujudkan rasa bersalah terhadap calon majikan anda.

Penemuduga anda juga ingin mengambil calon terbaik, bukan calon yang terdesak. Sebagai calon, tugas anda adalah untuk menunjukkan diri anda sebagai seorang yang berkelayakan dan nampak profesional.

Tidak kira seberapa banyak anda memerlukan pekerjaan itu, sangat penting agar anda tidak merayu atau meminta-minta, kerana ia akan menimbulkan situasi yang tidak selesa dan tidak profesional.

Tampilkan karisma, kredibiliti dan pesona anda sebagai calon. Tunjukkan keyakinan diri melalui bahasa badan dan pandangan mata yang betul. 

5. Tinggalkan impak kepada panel penemuduga

Sangat penting untuk anda tinggalkan impak kepada penemuduga. 

Apabila temuduga hendak berakhir,  penting untuk anda mengakhirinya dengan baik.. Anda perlu pastikan panel penemuduga berfikir dalam minda mereka bahawa ” Saya akan meletakkan calon ini dalam senarai utama” atau “Ambil dia sebagai pekerja!”. 

Senyum, ucapkan terima kasih, dan tegaskan atau nyatakan kembali minat anda dalam pekerjaan itu jika anda berpeluang menyatakannya.

Boleh jadi ada temu duga seterusnya tetapi apa yang penting anda mahu berada di bahagian atas senarai calon yang terpilih. Kemahiran semasa temuduga penting, apatah lagi sikap anda.

Selepas temuduga berakhir, pada hari yang sama juga, tulis e-mel untuk menyatakan terima kasih kepada penemuduga yang menunjukkan minat anda yang mendalam terhadap jawatan tersebut.

Sekali lagi ucapkan terima kasih kerana penemuduga sudi meluangkan masa, memberi perhatian dan memberi peluang untuk sesi temuduga yang berharga ini. 

Anda tidak perlu menulis panjang seperti menulis cover letter, cukup sekadar menyatakan isi dapatan utama hasil temu duga tadi. Tindakan ini pastikan akan  membuatkan anda terus diingati dalam minda panel penemuduga. 

Akhir kata, semoga berjaya memperoleh pekerjaan pada tahun ini dan tahun-tahun seterusnya!

Share via
Copy link
Powered by Social Snap