Penting Atau Tidak Menulis “Cover Letter” Kepada Bakal Majikan?

Sebelum kita pergi lebih jauh, kita perlu tahu dahulu apakah objektif Menulis Surat Pengenalan ( Cover letter) ?

Di Malaysia, tidak semua majikan meminta calon pekerja untuk menghantar surat pengenalan. Namun, jika anda menghantar surat pengenalan, ia merupakan satu nilai tambah untuk anda. 

Surat pengenalan bertujuan untuk menerangkan apa yang tidak dapat dijelaskan oleh resume selain dapat berkongsi kepada pihak majikan mengenai latar belakang anda.

Surat pengenalan yang menarik, mampu menjadi alat pemasaran yang berkesan untuk menari hati pihak majikan yang mana produknya adalah “diri anda sendiri”. 

Bukan hanya itu sahaja, surat pengenalan juga yang akan menjelaskan kepada pihak majikan bahawa kenapa anda sangat tertarik untuk menjawat jawatan yang anda mohon kerana sebagaimana yang  anda tahu, sebuah resume tidak cukup untuk menjelaskan segalanya.

Jika anda inginkan sesuatu jawatan, usahakan untuk menulis surat pengenalan yang khusus kepada syarikat yang anda mohon untuk meningkatkan peluang anda diambil kerja. 

Dengan menulis surat pengenalan, anda juga boleh bermain ‘ayat’ menerangkan bagaimana  anda mempunyai potensi serta pengalaman yang membuktikan bahawa anda sememnagnya untuk dipilih.

Jika resume anda menyenaraikan kemahiran dan pencapaian anda yang lepas, sebuah surat pengenalan akan menjelaskan kepada pihak majikan, bagaimana pencapaian anda tersebut juga akan dicapai di syarikat baru. 

Ringkasnya, tujuan surat pengenalan ini adalah : 

  • Menceritakan lebih jelas kenapa anda berminat dengan pekerjaan tersebut
  • “Menjual” potensi anda sebagai calon yang paling ideal
  • Menerangkan masalah atau kekurangan yang ditulis di resume (Baca penerangan di bawah)
  • Menerangkan bagaimana pencapaian anda melayakkan anda untuk mendapat pekerjaan tersebut
  • Menyentuh serba sedikit mengenai kelayakan anda. 

Bagaimana hendak menjadikan surat pengenalan anda lebih efektif?

Seperti resume, surat pengenalan juga perlu ditulis mengikut kesesuaian sesuatu pekerjaan, industri dan syarikat. Maksudnya di sini, anda digalakkan menulis secara spesifik surat pengenalan.

Mudah sahaja caranya untuk menulis cover letter yang mengikut kehendak syarikat yang dimohon. Berikut adalah 6 tips untuk memudahkan anda : 

  1. Buat kajian mengenai syarikat dan persembkan apa yang telah anda pelajari 

Membuat sedikit kajian mengenai syarikat sasaran anda menunjukkan sikap anda yang bersungguh-sungguh.

Contohnya, Jika anda memohon jawatan sebagai pengurus khidmat pelanggan bagi sebuah jenama yang ingin membuka cawangan baru, nyatakan bahawa anda juga pernah bekerja di kedai yang baru dibuka.

Terangkan bagaimana pengalaman anda mengajarkan anda untuk beradaptasi dan anda sebagai pengurus membantu pekerja bawahan anda juga untuk beradaptasi dengan tempat baru. 

  1. Terangkan kenapa anda begitu berminat dengan jawatan tersebut

Surat pengenalan anda adalah peluang yang terbaik untuk anda menerangkan kenapa anda berminat dengan jawatan yang dimohon dengan penerangan yang lebih jelas yang anda tidak dapat luahkannya di resume. 

Contohnya, jika anda ingin memohon jawatan sebagai seorang pemasar digital (Digital marketer) di sebuah syarikat IT, nyatakan kepada pihak majikan bahawa anda telah menghabiskan masa hampir 6 bulan untuk menguasai kemahiran membuat iklan di Tik Tok.

Dan ceritakan dengan yakin akan potensi dan pengetahuan anda akan menghasilkan kejayaann baru di syarikat pihak majikan. 

  1. Pastikan panjang surat pengenalan seringkas yang boleh

Menulis surat pengenalan kerja ini tidak perlu panjang. Tulis seringkas yang boleh. Surat pengenalan yang ringkas sebenarnya lebih berkesan kerana pihak majikan mudah membuat penilaian dan membaca apa yang anda ingin sampaikan. 

Anda boleh menulis seringkas 150 patah perkataan sahaja, asalkan maklumat yang dinyatakan padat dan informatif. 

  1. Selidik nama pengurus syarikat 

Antara tips berkesan untuk menarik hati majikan ketika membaca surat pengenalan, adalah dengan menyebut namanya di permulaan ayat. 

Contoh salutasi di surat pengenalan ialah : 

Kepada Puan Saidatul Akma, 

Pengurus Syarikat C9 Tech. 

  1. Sebutkan pencapaian anda dalam bentuk angka 

Menyatakan nilai angka atau nombor dalam surat pengenalan, dapat memberi gambaran kepada majikan bagaimana anda boleh memberi sumbangan kepada syarikat mereka. 

Contohnya : Jika anda memohon jawatan sebagai eksekutif khidmat pelanggan, anda boleh menyatakan bahawa anda boleh menjawab “30 panggilan dalam masa 1 jam”. 

  1. Menerangkan kekurangan atau masalah yang terdapat di resume

Bukan senang sebenarnya untuk menerangkan mengenai kekurangan anda dalam surat resume kerana ruang yang terhad. Tetapi dengan surat pengenalan, anda dapat menjelaskan masaalah yang berlaku. 

Contohnya: Terdapat jarak masa 2 tahun anda tidak bekerja di dalam resume kerana anda mengambil cuti bersalin selama 2 tahun untuk menjaga bayi kembar yang baru lahir.

Jadi, surat pengenalan yang berperanan untuk menjelaskan perkara ini kepada calon pihan majikan.

Selain itu, antara contoh lain anda tidak bekerja selama 3 tahun adalah anda terpaksa pulang ke kampung untuk menjaga ibu bapa yang sakit. Jadi nyatakan perihal tersebut di surat pengenalan. 

Bagaimana pendapat anda setelah membaca panduan ini? Mudah sahaja kan sebenarnya untuk menulis surat pengenalan.

Asalkan anda faham objektif anda menulis surat pengenalan. Selepas ini, kami syorkan dan harap anda menghantar surat pengenalan beserta resume meskipun tidak diminta oleh pihak majikan.

InsyaAllah ia akan menjadi satu nilai tambah yang membuatkan anda berbeza daripada calon pekerja lain. 

Share via
Copy link
Powered by Social Snap