9 Tips Tersembunyi Yang Mungkin Dapat Membantu Anda Segera Mendapat Kerja di LinkedIn

Bagi graduan yang baru sahaja tamat universiti, pasti anda ingin segera mendapat kerja untuk membalas jasa keluarga yang telah banyak berkorban untuk anda.

Manakala jika anda seorang yang sudah lama bekerja mungkin anda juga pernah terdetik untuk menukar perjalanan karier anda untuk mencari pengalaman baru di tempat kerja lain. 

Keinginan untuk bertukar karier mungkin disebabkan anda menjumpai minat baru. Maka transisi perubahan ini menyebabkan anda perlu memohon semula kerja baru.

Cara tradisional untuk memohon kerja yang biasa digunakan oleh ramai orang adalah dengan menghantar resume.

Namun dengan kepesatan digital dunia hari ini, tumbuh banyak platform kerja seperti LinkedIn sehingga ia mengambil alih hampir sepenuhnya mengenai dunia pekerjaan. 

Jadi, anda perlu manfaatkan betul-betul akaun LinkedIn anda untuk memohon kerja dan ikuti tips tersembunyi ini agar anda segera mendapat kerja.

Jadi orang terawal memohon kerja 

Bagi pencari kerja, mereka perlu berhadapan dengan persaingan yang sengit dan kompetitif kerana ramai yang berebut-rebut untuk memohon kerja.

Di LinkedIn sahaja terdapat 100 juta pekerjaan ditawarkan, tetapi jika anda berjaya menjadi orang yang terawal memohon pekerjaan, maka peluang anda 4x ganda lebih cerah. 

Sebelum itu, semasa anda membuat pencarian kerja di LinkedIn, anda boleh menyaring pekerjaan yang anda inginkan berdasarkan lokasi, industri, masa dan fleksibiliti. 

Kemudian, setelah itu anda perlu aktifkan pula butang notifikasi pekerjaan segera (job alert).

Jika ada kerja yang relevan dengan anda, maka pihak LinkedIn akan segera menghantar notifikasi. 

Tumpukan kerja yang telah dimohon

Anda perlu sentiasa memeriksa notifikasi. Selepas anda memohon kerja, bahagian Jobs Tracker di halaman utama LinkedIn akan membantu anda untuk sentiasa mengikuti perkembangan terkini kerja yang dimohon.

Agar anda boleh lakukan tindakan susulan jika belum ada sebarang berita. 

Pastikan profil LinkedIn anda ‘menyerlah’

Jika anda belum mempunyai profil LinkedIn, luangkan masa selama beberapa jam untuk mengemas kini profil anda agar kelihatan berinformatif dan tersusun.

Pastikan anda meletakkan gambar profil, kemahiran yang relevan, pengalaman dan lokasi agar pihak majikan mudah untuk menemui profil anda.

Gunakan bahagian ringkasan untuk menceritakan lebih lanjut perihal diri anda dan apa yang anda sasarkan. Dan jangan lupa untuk menggunakan kata kunci yang relevan di bahagian deskripsi kerja. 

Bagi ‘signal’ bahawa anda sedang mencari peluang baru

Tunjukkan kepada pihak perekrut bahawa anda sebenarnya terbuka untuk peluang pekerjaan baru dengan mengaktifkan butang terbuka kepada peluang pekerjaan (Open to Job Opportunities) di profil LinkedIn anda.

Jika anda bimbang bos anda akan mengetahui bahawa anda sedang mencari pekerjaan baharu, anda boleh pilih untuk menghadkan status anda kepada pihak perekrut sahaja. 

Ambil tahu nilai gaji

Nilai gaji juga merupakan faktor penting yang menentukan adakah anda perlu memohon sesuatu kerja.

Apabila anda tahu kadar gaji yang relevan dengan pekerjaan anda, anda boleh berbincang dengan pihak majikan dan memilih pekerjaan yang sesuai dengan anda.

Sahkan kemahiran anda 

Kemahiran anda tentunya faktor pendorong utama majikan mengambil anda bekerja.

Di LinkedIn, anda boleh mengambil penilaian kemahiran untuk mengesahkan kemahiran anda, dan ia akan muncul di profil anda dan meyakinkan majikan yang ingin mengambil pekerja baru. 

LinkedIn juga turut menawarkan 15 kursus percuma kepada pengguna mereka yang ingin belajar kemahiran baru.

Pelaburan terhadap kemahiran baru, menjadikan anda lebih menyerlah berbanding calon lain dan memudahkan anda untuk segera mendapat kerja. 

Aktif bersama rangkaian anda

Melalui rangkaian, anda mungkin berpeluang diperkenalkan kepada individu yang anda ingin berhubung, yang boleh meningkatkan 9x peluang anda untuk diambil bekerja.

Anda juga cuba meminta rujukan daripada kenalan anda jika ada tawaran kerja baru di LinkedIn. Selain itu, pastikan anda menambah profil dengan individu yang anda sudah kenal dan sentiasa berinteraksi.

Mana tahu jika rakan anda ada kenalan yang boleh menghubungkan anda kepada syarikat impian anda. 

Buat persediaan sebelum temuduga

Berdasarkan kajian di Linkedin, 54% pencari kerja yang mengatakan bahawa sesi temuduga adalah sesi yang mencabar, adalah disebabkan dua faktor ini : 

  1. Tidak pasti
  2. Kurang keyakinan

Persediaan sebelum temuduga memberikan impak yang besar. Antara persediaan yang anda boleh lakukan ialah bersedia dengan jawapan umum yang sering ditanyakan kepada calon pekerja.

Selain itu, anda juga boleh bersedia dari sudut komunikasi iaitu dengan berlatih cara menjawab soalan agar tidak panik.

Pastikan anda sentiasa peka dengan informasi terbaru

Apabila anda mengkaji serba sedikit mengenai syarikat yang anda berminat untuk bekerja, satu bonus tambahan jika anda faham dan tahu serba sedikit mengenai industri tersebut dan pesaingnya.

Cara yang bagus untuk sentiasa peka mengenai perkembangan syarikat adalah dengan mengikuti profil akaun syarikat tersebut di LinkedIn, laman web, akhbar atau mana-mana laman sosial. 

Share via
Copy link
Powered by Social Snap