Panduan Dan Tips Menulis Resume Latihan Industri (Intern)

Di Malaysia, latihan industri (intern) merupakan syarat utama untuk pelajar peringkat ijazah sarjana muda bergraduasi.

Tujuannya adalah agar para pelajar terdedah dengan industri pekerjaan sebelum menceburi bidang pekerjaan yang sebenar. 

Selain itu juga, latihan industri juga boleh dijadikan batu loncatan bagi para pelajar menjejakkan kaki ke profesion yang mereka minati.

Namun sebelum memohon tempat latihan industri yang dikehendaki, para pelajar perlulah mempunyai ‘resume’ yang bagus agar mudah diterima pihak majikan. 

Dengan pengalaman yang diperolehi semasa latihan industri, ia dapat membantu perkembangan kerjaya anda di samping dapat memperluas rangkaian anda.

Latihan industri juga memberikan anda peluang untuk mencuba semua aspek berbeza dalam bidang anda.

Dengan ijazah yang dimiliki ia akan melayakkan anda untuk mendapat kerja, manakala dengan pengalaman latihan industri, anda menjadi calon yang diidamkan oleh bakal majikan. 

Bukan itu sahaja, anda berpeluang melihat secara langsung bagaimana anda bakal bekerja setelah tamat belajar berbanding dengan hanya memiliki ilmu teori tentang suasana pekerjaan.

Akhir sekali, dengan pengalaman latihan industri anda juga dapat mempunyai gambaran yang jelas laluan kerjaya yang anda akan ceburi dan ia juga mendorong anda untuk mencapai kerja yang anda idamkan. 

Apakah tugas yang akan dilakukan semasa latihan industri?

Banyak bidang kerja yang menawarkan latihan industri. Ada yang diberi bayaran dan ada juga yang tidak memberi bayaran. 

Meskipun begitu, para pelatih akan mendapat pengalaman bekerja sebenar dan dapat menambahkan pengalaman serta kemahiran.

Pengalaman dan kemahiran yang diperolehi juga boleh ‘mencantikkan’ nilai resume terutama untuk memohon peluang pekerjaan yang lebih baik pada masa akan datang. 

Disebabkan itu, ramai para pelatih yang sanggup bekerja secara percuma, kerana pengalaman mereka pasti akan terbayar satu hari nanti. 

Bagi majikan, pelatih industri dianggap sebagai modal pekerja yang lebih murah & sebagai alternatif jangka masa pendek bagi pekerja yang bekerja sepenuh masa.

Kadangkala latihan Industri juga dijadikan proses percubaan untuk melihat potensi pelatih sebelum dilantik sebagai pekerja tetap. 

Sebagai contoh, firma guaman akan memberikan latihan industri kepada pelajar guaman.

Sekiranya pelajar tersebut bersikap cemerlang semasa tempoh latihan industri, maka tawaran menjadi pekerja tetap akan diberikan kepada pelatih tersebut.

Cara untuk menulis ‘Resume’ latihan industri

Walaupun anda masih sedang belajar di universiti, namun anda boleh sahaja menghasilkan sebuah resume yang bagus. 

Semasa menulis resume, anda perlu tahu bahawa ada format resume yang wajib diisi dan ada juga format yang sekadar opsyenal.

Ia bergantung kepada kerjaya yang anda ingin ceburi serta pencapaian dan kemahiran anda. 

Di bawah ini merupakan bahagian resume yang wajib dilengkapkan dalam resume latihan industri anda. 

  1. Summary/Rumusan:  Bahagian ini merupakan bahagian yang menjadi daya tarikan dalam ‘resume’ anda. Bahagian ini juga merupakan bahagian pertama yang dilihat oleh individu dan satu satunya bahagian yang dibenarkan untuk bercerita mengenai hal peribadi.
  1. Pengalaman: Walaupun anda masih belajar, anda pasti mempunyai sedikit pengalaman berkaitan dengan bidang pengajian anda, termasuk pengalaman dalam bidang lain yang mampu menarik perhatian para majikan. 
  1. Pendidikan: Anda masih belajar ketika menjalani latihan industri, jadi di bahagian pendidikan, tuliskan setakat mana pencapaian yang telah anda perolehi. 
  1. Kemahiran: Untuk menulis mengenai kemahiran yang perlu diberikan keutamaan adalah bergantung kepada kriteria yang dikehendaki oleh bakal majikan. Kemahiran perlu ditulis berdasarkan pekerjaan yang anda minta. 

Di bawah ini pula merupakan bahagian pilihan (tidak wajib) yang anda boleh pertimbangkan untuk diletakkan di resume, iaitu : 

  1. Bahasa: Jika anda boleh berbicara lebih dari satu bahasa, ini merupakan satu kelebihan yang besar. Dengan kepandaian berbahasa asing, anda boleh berbicara dengan ramai pelanggan. Syarikat multi nasional akan memanfaatkan pekerja yang boleh berkomunikasi dalam bahasa asing dengan klien mereka di seluruh dunia. 
  1. Aktiviti ko-kurikulum : Aktiviti kokurikulum boleh dipertimbangkan untuk diletakkan di resume jika ia berkaitan dengan pencapaian anda, atau ia menghubungkan anda dengan kemahiran yang diperlukan oleh pihak majikan yang menghendaki calon pelatih. 
  1. Hobi: Bahagian ini merupakan satu bahagian di mana anda dapat menceritakan sedikit sebanyak mengenai personaliti anda. Tetapi dalam masa yang sama ia juga kelihatan seakan anda cuba memenuhi ruang kosng. Jika hobi anda berkaitan dengan bidang yang ingin diceburi, anda boleh pertimbangkan untuk meletakkan maklumat di bahagian kemahiran resume. 

Perkara yang perlu dilakukan

  • Serlahkan keunikan diri anda melalui ringkasan ‘resume’ kerana bahagian itu merupakan bahagian yang akan dinilai dahulu
  • Menyusun bahagian di dalam ‘resume’ anda dengan teliti. Utamakan kemahiran yang perlu digunapakai semasa ‘internship’.
  • Memilih rekabentuk yang kemas dan profesional untuk memastikan ‘resume’ anda tidak akan diabaikan.

Perkara yang perlu dielakkan

  • Menulis semua mengenai pekerjaan, hal hal di universiti & kemahiran termasuklah yang tiada kaitan dengan latihan amali di dalam resume
  • Mengabaikan tentang perkara khusus mengenai pekerjaan tersebut yang perlu dinyatakan jika anda menepati ciri tersebut
  • Menulis penerangan terlalu panjang untuk setiap bahagian
Share via
Copy link
Powered by Social Snap