12 Contoh “Soft‌-skill”‌ ‌Yang Perlu Ada Dalam Resume Anda!

Pihak majikan menginginkan calon pekerja yang mempunyai kemahiran unik yang mana dapat dimanfaatkan oleh mereka. 

Kemahiran teknikal adalah kemahiran yang perlu ada bagi setiap calon pekerja, manakala kemahiran insaniah (soft skill) pula merupakan kriteria yang diutamakan majikan. Walau bagaimanapun, kedua-duanya perlu seimbang. 

Berdasarkan analisis oleh The Wall Street Journal, hampir 58% majikan mengutamakan pekerja yang memiliki kemahiran komunikasi.

Ini menunjukkan bahawa soft skill sangat penting jika anda ingin memohon kerja. 

Tapi sebelum itu, admin nak terangkan serba sedikit mengenai perbezaan soft skill dan hard skill supaya anda dapat membezakan keduanya.

Soft skill atau kemahiran insaniah juga turut dikenali sebagai kemahiran interpersonal.

Antara contoh soft skill ialah kemahiran berkomunikasi, kemahiran bersosial, kemahiran mandiri, kemahiran menyelesaikan masalah (problem solving), dan kemahiran memimpin.

Manakala hard skill pula dikenali sebagai kemahiran fizikal atau teknikal.

Hard skill adalah kemahiran yang boleh dipelajari di sekolah, universiti mahupun tempat bekerja. Contoh hard skill ialah pandai bercakap bahasa asing, pandai menggunakan program komputer dan kemahiran menulis. 

Untuk artikel kali ini, admin akan menerangkan contoh soft skill yang anda boleh letakkan dalam resume anda.

1. Profesionalisme

Profesionalisme merupakan satu bentuk tindakan yang memaparkan nilai tanggungjawab dan adil. Seorang yang profesional, bijak mengasingkan hal kerja dan hal peribadi.

Antara cara untuk menerangkan kemahiran profesionalisme dalam resume: Teliti, teratur, berdedikasi, dan komited melakukan kerja.

2. Bersifat terbuka 

Individu yang ada sifat keterbukaan ini akan mudah menerima idea dan konsep baru, dan tidak kisah jika perlu bekerja secara individu atau secara berpasukan.

Antara cara untuk menerangkan kemahiran bersifat terbuka dalam resume: Berani mengambil risiko, mudah menyesuaikan diri, fleksibel, positif, berdaya tahan tinggi dan terbuka terhadap idea baru.

3.  Daya menyelesaikan masalah

Majikan mencari pekerja yang mempunyai minat terhadap pekerjaan mereka dan mereka yang dapat menyelesaikan masalah dan menyelesaikan pekerjaan.

Antara cara untuk menerangkan kemahiran daya menyelesaikan masalah dalam resume anda: Kreatif, inovatif.

4. Sikap Kebolehpercayaan (Dependability)

Semua majikan menginginkan pekerja yang datang bekerja setiap hari tepat pada waktunya dan sentiasa bersedia untuk bekerja, serta yang boleh bertanggungjawab atas setiap tindakan mereka.

Antara cara untuk menerangkan kemahiran kebolehpercayaan dalam resume anda ialah : Amanah, bertanggungjawab, sentiasa komited untuk mencapai kecemerlangan dan kejayaan.

 5. Kesetiaan

Majikan mahukan pekerja yang  mempunyai taat setia tinggi kepada syarikat.

Antara cara untuk menerangkan kemahiran kesetiaan dalam resume anda ialah : Setia, sentiasa menunjukkan rekod kerja yang sangat baik.

6. Bersikap positif

Pihak majikan gemar pekerja yang sentiasa bersemangat tinggi dan berfikiran positif. Sikap ini menjadikan pekerja ini tidak ingin mengalah dalam apa jua yang mereka lakukan.

Antara cara untuk menerangkan kemahiran yakin diri dalam resume anda: Konsisten, positif dan optimis.

7. Yakin diri 

Sikap yakin diri sangat penting jika anda ingin mendapatkan pekerjaan dan untuk melakukan sesuatu.

Jika anda tidak percaya diri dan kemampuan anda, kenapa seorang majikan perlu percaya akan anda?

Antara cara untuk menerangkan kemahiran yakin diri dalam resume anda: Bermotivasi tinggi dan mampu mengambil inisiatif sendiri dengan pemantauan minimum.

8. Sedia belajar perkara baru

Tidak kira berapa usia anda dan banyaknya pengalaman yang anda miliki, anda perlu sentiasa bersedia untuk mempelajari kemahiran atau teknik baru.

Pekerjaan ada kalanya berubah dan berevolusi, jadi anda perlu terbuka untuk belajar  perkara baru jika ada perubahan. 

Antara cara untuk menerangkan kemahiran kesediaan belajar perkara baru ialah: Gemar belajar pengetahuan baru, sentiasa bersemangat untuk menghadapi cabaran dan mengasimilasikan konsep baru dengan cepat.

 9. Kepimpinan

Kepimpinan adalah kemampuan untuk mengetuai, mengambil alih dan mengurus hal ehwal syarikat termasuk mengurus manusia.

Pihak majikan sangat gemar akan pekerja yang ada ciri kepimpinan ini agar dapat membantu syarikat.

Antara cara untuk menerangkan kemahiran kepimpinan dalam resume anda ialah: Pemimpin yang berorientasikan matlamat yang mengekalkan suasana kerja produktif,  bermotivasi tinggi, dan melatih pasukan untuk memenuhi standard prestasi tinggi.

10. Cakna multikultural

Isu diversiti merupakan isu yang besar. Di Malaysia, cakna mulkitural ini sangat penting kerana negara kita mempunyai 3 kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India.

Jika setiap orang memahami kepelbagaian budaya dan menghormati perbezaan masing-masing, maka wujud persekitaran yang harmoni akan diwujudkan.

Antara cara untuk menerangkan kemahiran cakna multikultural resume anda ialah: Peka kepada perbezaan budaya dan mampu membina hubungan yang baik dalam persekitaran pelbagai budaya.

11. Kemahiran berorganisasi

Kemahiran ini berkaitan dengan kemampuan anda untuk merancang, mengatur, dan melaksanakan projek dan tugas dalam jangka masa yang diperuntukkan.

Antara cara untuk menerangkan kemahiran berorganisasi dalam resume anda ialah: Kemahiran merancang dan organisasi yang tinggi.

12. Kerja berpasukan

Sesetengah pekerjaan menyebabkan anda perlu melibatkan diri dengan orang lain untuk bekerja secara berpasukan. Jadi anda perlu bijak bergaul dengan individu lain secara profesional untuk mencapai matlamat bersama.

Antara cara untuk menerangkan kemahiran resume anda ialah: Mampu membina hubungan yang baik dan dipercayai antara pelanggan.

Share via
Copy link
Powered by Social Snap