Senarai Perkara Yang Perlu Dilakukan Dan Perlu Dielakkan Semasa Menulis Resume

Menulis resume bukan suatu perkara yang mudah terutama bagi mereka yang baru sahaja ingin menulis resume untuk memohon kerja pertama.

Tetapi, walau macam mana sukar sekalipun, setiap orang yang ingin memohon kerja tetap perlu ada resume.

Usah bimbang, jika anda tahu perkara yang perlu ditulis dan dielakkan semasa menulis resume, proses menulis resume itu akan menjadi lebih mudah. 

Artikel ini akan memberi panduan untuk anda dan membantu anda agar tidak melakukan kesilapan sekaligus untuk menulis resume yang lebih baik. Antara perkara-perkara yang perlu ditekankan ialah : 

1. Pengalaman Kerja

  • Tuliskan pengalaman pekerjaan yang berkaitan

Pernyataan permohonan, kemahiran dan pengalaman kerja anda perlu disesuaikan mengikut pekerjaan.

Pengalaman kerja tidak akan berubah dan tidak boleh diubah. Apa yang boleh diubah adalah cara anda mempersembahkan resume anda.  

Contohnya resume yang ditulis untuk syarikat yang menginginkan kriteria calon bersikap teliti (detail-oriented) adalah berbeza dengan resume yang ditulis kepada syarikat yang menginginkan calon yang mahir dalam seni komunikasi. 

jadi ia bergantung kepada kreativiti anda sendiri untuk mengolah penggunaan ayat di dalam resume.

Yang penting, apabila anda memohon sesuatu jawatan, anda perlu menunjukkan kepada calon majikan bahawa anda layak bekerja mengikut kriteria yang dicari syarikat tersebut. 

  • Sentiasa ubah suai resume anda mengikut pekerjaan

Ubah suai resume tidak bermaksud anda perlu sentiasa menulis semula resume baru setiap kali anda memohon pekerjaan baru. 

Maksudnya di sini, senaraikan dahulu semua pengalaman kerja yang pernah anda lakukan, kemahiran yang anda kuasai, dan kelayakan anda dan tulis di resume dahulu.

Kemudian padam semua yang tidak berkaitan mengikut kriteria yang dikehendaki untuk jawatan tersebut. Jika anda memohon banyak pekerjaan dalam bidang yang sama, gunakan resume yang sedia ada pun sudah cukup.

Simpan tenaga dan masa anda kepada format yang sama dan fokus mengubah suai isi resume mengikut jawatan. 

  • Bukan semua pengalaman kerja yang anda perlu masukkan dalam resume

Sekiranya iklan jawatan yang anda mohon tidak menyebut mengenai sijil, maka anda tidak perlu menulisnya di resume anda. 

Jika anda senaraikan juga sijil dan pengalaman yang tidak berkaitan, ia menunjukkan anda seorang yang tidak peka dan tidak mengambil cakna tentang pekerjaan tersebut. Ia juga menunjukkan anda sekadar mencuba nasib dengan menghantar resume secara rawak kepada majikan. 

2. Format Resume

  • Gunakan format ‘resume kronologi’

Melainkan jika anda ada tempoh jarak yang lama tidak bekerja atau anda ingin bertukar industri. Tetapi untuk pengetahuan anda, resume kronologi adalah format resume yang standard dan sering digunakan majikan kerana memudahkan pihak majikan melihat senarai pengalaman kerja berbanding perkara lain.

Pihak pentadbiran syarikat, biasanya lebih menyukai resume kronologi kerana resume tersebut : 

1. Menunjukkan perkembangan kerjaya calon dari semasa ke semasa

2. Boleh digunakan oleh semua pekerja tidak kira tahap kelayakan dan digunakan oleh kebanyakan industri

3. Sering digunakan dan senang difahami

  • Jangan gunakan template ‘resume fungsional’

Resume fungsi tidak menjelaskan pengalaman kerja anda. Sebab dalam kebanyakan kes, pengalaman kerja yang lebih utama dinilai oleh pihak majikan.

Resume fungsi lebih menekankan kemahiran calon pekerja berbanding pengalaman kerja calon. 

Sekiranya anda telah lama tidak bekerja atau ingin beralih ke bidang pekerjaan baru, anda boleh mempertimbangkan untuk menggunakan resume fungsi.

Tetapi untuk yang lain, resume kronologi lebih mudah kerana ia lebih menekankan pengalaman kerja dan bahagian resume lain dengan menarik.

  • Gunakan font tulisan yang mudah dibaca

Gunakan Font seperti Times New Roman, Arial, atau Helvetica yang senang dibaca dan kelihatan profesional. Resume atau mana-mana dokumen yang menggunakan tulisan comel seperti Comik Sans atau Papirus menunjukkan dokumen itu bukan dokumen rasmi dan penting.

Font terbaik untuk resume anda adalah font yang dapat menggambarkan kriteria tegas dan serius. Pastikan juga saiz font cukup besar sehingga majikan dapat membaca resume anda tanpa perlu menganggu pembacaan mereka.

3. Bahagian Summary

  • Perkenalkan diri anda dalam resume di bahagian summary 

Bahagian summary perlu ditulis ringkas dan padat, agar dapat dibaca dengan pantas oleh pihak majikan. 

Menulis summary resume dengan betul juga antara langkah penting untuk berjaya dalam temuduga. Summary resume yang ditulis dengan betul perlu menekankan kepakaran calon untuk membolehkan majikan menilai dengan pantas akan potensi calon dan adakah calon tersebut sesuai untuk pekerjaan itu.

  • Elakkan menulis objektif resume

Objektif resume sekarang ini sudah dianggap ketinggalan zaman kerana ia lebih menumpukan kepada tujuan calon berbanding apa yang sepatutnya mereka sumbangkan dalam syarikat.

Objektif resume juga lebih menumpukan pada tujuan kerjaya dan latar belakang pendidikan calon pekerja, dan ia sebenarnya lebih sesuai digunakan untuk calon yang baru hendak mencari pekerjaan pertama atau calon yang hendak bertukar industri.

Tetapi jika anda sudah mempunyai pengalaman dalam bidang yang ingin diceburi, lebih baik anda menulis summary resume sahaja kerana anda dapat menekankan lebih jelas akan pencapaian anda dan nilai yang ingin dibawa ke dalam syarikat. 

  • Kata kunci Resume

Gunakan kata kunci yang relevan ke setiap bahagian resume anda. Calon majikan dapat menilai jika anda menggunakan kata kunci yang sebenanrya tidak sesuai digunakan. 

Kata kunci yang anda perlukan boleh didapati dalam iklan atau deskripsi jawatan. Semakin banyak anda menggunakannya dalam resume anda, semakin mudah komputer memberitahu aplikasi bahawa resume anda terpilih dan majikan perlu menilai resume anda. 

Hal ini kerana jika majikan menggunakan sistem perisian,  sistem perisian tersebut akan mengimbas kata kunci dalam resume dan hanya akan memilih resume yang berkelayakan sahaja melalui kata kunci yang digunakan. 

Anda boleh jumpa kata kunci melalui deskripsi pekerjaan, dan sertakan kata kucnci tersebut agar mudah dikesan sistem perisian tersebut. 

4. Maklumat Peribadi

  • Sertakan nama, alamat e-mel, dan nombor telefon anda

Rugi sebenarnya jika anda tidak meletakkan maklumat peribadi, kerana jika anda terpilih sekalipun majikan tidak dapat menghubungi anda.

Sertakan nombor telefon peribadi anda atau alamat e-mel anda di bahagian maklumat perhubungan. Tidak bagus jika anda letakkan nombor pejabat atau e-mel pejabat, terutama apabila bos anda juga tidak tahu bahawa anda sedang mencari pekerjaan baru. 

Pastikan juga anda mengggunakan alamat e-mel yang profesional. Contoh emel yang terbaik dan sesuai digunakan adalah e-mel yang menggunakan nama anda sendiri. Contohnya : [email protected]

  • Elakkan menyebut jenis kewarganegaraan, tarikh lahir, umur, bangsa, jantina, agama, atau fahaman politik anda 

Semua ini tidak berkaitan langsung dengan kemampuan yang anda miliki untuk melakukan pekerjaan. Ianya sangat berisiko untuk didedahkan kerana terdapat sesetengah majikan yang bersikap diskrimrinasi. 

Resume pada zaman moden sudah tidak perlu lagi untuk meletakkan alamat surat menyurat.

Pihak majikan tidak memerlukan alamat surat menyurat calon kerana proses permohonan kerja sekarang dilakukan melalui telefon dan e-mel.

Jadi, gunakan ruang kosong yang masih ada untuk diisi dengan maklumat yang lebih relevan, seperti  bahagian kemahiran. 

Namun, jika anda sudah berpindah, anda boleh pertimbangkan untuk meletakkan kawasan anda yang terkini (seperti nama negeri dan bandar).

Ia bertujuan untuk memberitahu majikan bahawa anda calon yang berada di lokasi tersebut. Lokasi juga merupakan perkara yang sangat penting untuk ditekankan dalam resume anda jika kebanyakan pengalaman pekerjaan anda sebelum ini adalah di kawasan negara/negeri/bandar lain. 

5. Bahagian Pendidikan

Nyatakan pendidikan tertinggi anda. Pendidikan tertinggi anda menggambarkan tahap pendidikan anda, kemampuan anda untuk belajar perkara baru, dan  kesungguhan anda untuk berjaya. 

6. Pencapaian

  • Tulis pencapaian anda dalam bentuk bullet point, bukan dalam bentuk ayat

Tidak cukup sekadar menjelaskan apa tugasan yang anda lakukan. Untuk menjadikan resume anda lebih menarik, terangkan apa pencapaian anda dan bagaimana anda lakukannya. 

Contohnya katakan anda seorang pelayan kedai, skop kerja tersebut sama sahaja di mana-mana restoran. Untuk menonjolkan diri anda, nyatakan pencapaian yang anda telah lakukan agar mereka tidak memandang rendah kemampuan anda. Jadi, ceritakan bagaimana anda: 

1. Berjaya meningkatkan jualan restoran

2.Berjaya menjual produk yang tidak mendapat sambutan sebelum ini

3. Berjaya melatih pekerja baru

  • Gunakan kata kerja dan senarai nombor 

Kata kerja dan senarai nombor akan memudahkan calon majikan membaca resume anda. 

Kata kerja akan menonjolkan tindakan anda dan menunjukkan bahawa anda adalah pekerja yang aktif mencari solusi berbanding mereka yang hanya sekadar melakukan apa yang ditugaskan. Manakala penggunaan angka pula akan menjelaskan lagi nilai pencapaian anda. 

Jangan takut menggunakan nilai angka dalam resume , contohnya: 30% berbanding menulis secara ejaan “tiga puluh peratus”. 

  • Elakkan menggunakan perkataan klise dalam ayat

Hampir setiap calon pekerja akan menulis bahawa mereka “rajin”, “bermotivasi”, dan “menepati masa”. Anda digalakkan untuk memilih kata sifat yang lebih khusus dalam resume untuk menggambarkan apa yang anda dapat sumbangan kepada pasukan dengan lebih baik.

7. Kadar panjang Resume

  • Pastikan resume anda seringkas yang mungkin. 

Kongsikan kemahiran, pengalaman, dan kelayakan anda dalam resume namun anda kena ingat jangan serabutkan semua maklumat sehingga majikan pening dan tidak jumpa di mana isi penting yang anda beri penekanan. 

Panjang resume yang tepat masih lagi diperdebatkan. Ada yang berpendapat satu halaman resume sudah cukup, manakala satu pihak yang lain menyatakan lebih banyak halaman lebih baik. 

Tetapi dari sudut majikan sebenarnya mereka lebih berminat untuk tahu “seberapa cepat calon ini dapat membuktikan kehebatan diri mereka?” 

Pastikan resume anda pendek dan terus masuk kepada isi sehingga majikan dapat cari dengan segera apa yang mereka mahukan. 

  • Sebaiknya, Jangan melebihi satu halaman

Kecuali anda mempunyai banyak pengalaman yang relevan untuk diselitkan. Sekiranya anda mempunyai lebih 10 tahun pengalaman yang relevan, dan anda ingin memohon jawatan tinggi seperti penolong pengurus, atau anda  bekerja di bidang yang sangat teknikal, maka anda boleh mempunyai resume lebih dari dua halaman (atau lebih panjang lagi).

Kesimpulannya, kami doakan agar anda dimudahkan menulis resume menggunakan panduan yang telah dikongsikan. Semoga perkongsian ini dapat membantu anda menulis resume yang baik sehingga anda berjaya mendapat kerja dalam bidang atau jawatan yang anda inginkan

Share via
Copy link
Powered by Social Snap