Adakah Semua Pengalaman Kerja Perlu Diletakkan Dalam Resume?

‘Resume’ anda adalah kunci kepada kejayaan dalam pencarian sebuah pekerjaan.

Semasa menyunting resume, mungkin anda ada persoalan iaitu “perlu ke aku letakkan semua pengalaman kerja di resume?”. 

Sebenarnya tiada hitam dan putih untuk menentukan bagaimana seharusnya anda menulis pengalaman kerja, namun tips ini mungkin dapat membantu menjawab persoalan anda.

Jadi, Ikuti tips ini untuk membantu anda memberi gambaran idea bagaimana menulis pengalaman kerja anda di resume. 

Letakkan pengalaman kerja yang relevan sahaja 

Apabila anda ingin memohon pekerjaan, anda perlu menyunting resume anda mengikut jenis pekerjaan yang dimohon.

Ini bermaksud jika anda ada banyak pengalaman kerja, anda hanya perlu senaraikan berdasarkan pengalaman yang berkaitan sahaja. 

Anda boleh memilih untuk tidak menyenaraikan semua pengalaman yang tidak berkaitan.

Atau anda boleh senaraikan sahaja semua pengalaman kerja anda, namun asingkannya di bahagian resume yang berlainan.

Jadi, pihak majikan dapat melihat sudut gambaran penuh mengenai pengalaman kerja anda. 

Jika anda bercadang untuk bertukar karier, kami galakkan anda gunakan pengalaman kerja terdahulu anda yang berkaitan sahaja dengan pekerjaan baru ini.

Manakala, jika anda merupakan seorang lepasan graduan dan anda tidak banyak pengalaman kerja untuk diceritakan, anda boleh senaraikan sahaja mana-mana pengalaman yang ada. 

Contohnya pengalaman bekerja semasa cuti semester, pengalaman latihan industri, pengalaman kesukarelawanan dan sebagainya.

Bagi lepasan graduan yang baru tamat belajar, pihak majikan faham sahaja bahawa anda belum ada banyak pengalaman kerja. Namun, mereka ingin melihat penglibatan anda serta kemahiran anda.

Hadkan pekerjaan bagi tempoh masa 10 ke 15 tahun

Sekiranya pengalaman kerjaya anda telah melebihi satu dekad, adalah lebih baik jika anda hadkan pengalaman kerja anda dalam tempoh 10-15 tahun terdekat.

Selain itu juga, perubahan industri juga berlaku begitu cepat. Pengalaman kerja anda misalnya sebagai computer programmer pada 20 tahun lepas sudah tidak relevan kerana perkembangan IT dunia hari ini begitu berbeza. 

Ceritakan nilai diri anda tanpa perlu menipu

Walaupun anda tidak perlu untuk meletakkan semua pengalaman kerja anda, ini tidak bermakna bahawa anda boleh menipu bakal pihak majikan.

Jika anda diketahui menipu, pihak majikan anda sekarang boleh memberhentikan anda serta merta.

Meskipun anda telah berada dalam bidang yang diceburi selama bertahun-tahun lamanya.

Tetapi ada juga sesetengah majikan akan meminta anda untuk menyediakan maklumat terperinci mengenai pengalaman kerja anda 5-10 tahun yang lepas.

Dalam hal ini, anda perlu menyeneraikan semua sebagaimana yang diminta oleh pihak syarikat tanpa tertinggal satu pun.

Kerana berkemungkinan pihak syarikat akan memeriksa maklumat anda melalui rekod pembayaran cukai.

Jika ada pengalaman yang tertinggal, anda berisiko untuk diberhentikan kerja.

Gunakan format resume jenis kronologikal

Jika anda ingin bertukar karier, kami galakkan anda menggunakan format resume jenis kronologikal.

Dengan format ini, anda akan menulis pengalaman kerja anda bermula dengan pengalaman kerja yang paling terbaru sehingga pengalaman bekerja yang paling lama mengikut urutan. 

Ianya akan lebih tersusun dan mudah dibaca oleh pihak majikan.

Pastikan tidak ada ‘jarak tidak berkerja’ dalam tempoh yang lama

Apabila anda cuba untuk memberi fokus terhadap maklumat pengalaman kerja yang berkaitan sahaja, pasti pengalaman kerja yang tidak berkaitan akan dibuang dari resume anda.

Apabila ada pengalaman kerja yang tidak disenaraikan, pihak majikan mungkin berfikir bahawa tempoh tersebut adalah tempoh ‘jarak tidak bekerja’ yang lama.

Jadi, anda perlu bersedia untuk menerangkan situasi sebegini. Jika tidak, pihak majikan akan rasa hairan dan pelik kenapa anda tidak bekerja dalam tempoh masa yang lama.

Oleh kerana senarai pengalaman yang agak panjang, anda boleh menyenaraikan pengalaman kerja anda bermula dengan nama syarikat, tempoh masa, dan nama pekerjaan tanpa perlu memberikan huraian terperinci. 

Dan jangn lupa tau untuk pastikan maklumat di Linkedin anda adalah selari dengan maklumat di resume anda. Supaya majikan tidak rasa bahawa anda telah menipu mereka.

Share via
Copy link
Powered by Social Snap